Jerih 2

Kosong. 

Beberapa hari kebelakangan ini, Aisy kerap mempunyai perasaan itu. Semacam ada yang tak kena, tak lengkap.

Keceriaan si dia amat dirindui. 
"Mok!" Satu gelaran yang semakin lama sepi dari gegendang telinga Aisy. 
Gelak ketawanya yang gegak gempita tak lagi kedengaran.

"Bel, mana Jiji? Lama tak nampak dia," tanya Aisy. Bell, ahli halaqah tasmik Jiji. 

"Awak tak tau ke ?!"

Aisy cuma tercengang kehairanan. 

"Jiji demam panas. Dah balik selatan dah pun. Seminggu dah balik rumah."

"Ya Allah! Innalillah."

Dan seminggu lagi berlalu tanpa khabar berita dari gadis Selatan itu.

********
"Awak semua! Awak semua ! Jiji datang!  Dia nak keluar."

"Hah?!"

Semua saling berpandangan sama sendiri. Mata-mata dibulatkan. Kening-kening mulai berkerut. Tak sangka, kejutan datang ketika waktu rehat hari itu. 

Gadis itu berdiri di depan pintu laluan tangga masjid. 

Tudung labuh merah jambu lembutnya basah. Namun, mukanya tersenyum. Dua lorong bekas linangan air mata berkilat-kilat di atas wajahnya, dek terkena sinaran suria.

Jiji tahu, pasti semua sudah tahu. Ini masa untuk dia pergi. 

Seorang demi seorang sahabat didakapnya. Pesanan demi pesanan dititipkan sebagai buah tangan perpisahan. Sayu. Sedih. 

Air matanya kembali berlinangan. Tak disangka perpisahan berlaku secepat ini. Dia yang begitu tabah dan telah bersabar selama 5 bulan dalam jalan mujahadah ini. 

Namun riak wajahnya tenang. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku, tiada apa-apa yang bakal berubah. 

Walhal...

**

"Jiji!" panggil Aisy.

"Mok!", sahutnya. Tubuh Jiji didakap kemas untuk beberapa detik. Sebak. Aisy rasa lump in the throat

"Jaga diri, Jiji.
 Jaga Iman."
Itu sahaja yang mampu Aisy tuturkan.
Tubuh sahabatnya itu masih didakap erat.

"Tapi Jiji....kenapa keluar?" 

"Saya...
Saya dah tak boleh," ujarnya perlahan. 

Perlahan-lahan dakapan dileraikan. Jiji masih mengekalkan senyuman. 

Beberapa keping foto bersama Jiji dirakam. Kemudian, disimpan kemas dalam memori telefon pintar mereka. 

Dan akhirnya dia pergi. 

Selang beberapa saat selepas itu, Ustazah Ummu pun kembali ke kelas. Ah, rutin biasa kembali. 

"Fokus, Aisy. Fokus," getus hatinya, mengkambus dukanya jauh ke dasar hati.




Comments

Popular Posts