Gelap Beransur Cerah (Sepintas Lalu 2017 Aku)
Bila diselak kembali diari hidup aku, 2017 bermula dengan krisis
dalaman yang agak dahsyat. Segala jenis keraguan mula menyerabutkan kepala sehingga
aku banyak mempersoal kembali ilmu-ilmu yang aku pernah belajar dulu. “Mana
satu yang benar, mana satu yang tidak? Kenapa banyak sangat pendapat dalam isu
ni? Tak boleh ke jelas ada satu je?” Letih tahu. Letih bila terlampau berfikir.
Segala sisa tenaga disedutnya. Kelesuan mula menguasai; lesu fizikal, mental,
emosi dan jiwa.
Perit benar bila diselubungi
kegelapan kerana aku tidak tahu ke arah mana yang aku harus langkah. Setiap
langkah diiringi dengan rasa ragu; “Aku tidak tahu. Aku tidak pasti. Betul ke apa
yang aku buat ni?” Sehingga satu saat, aku akhrinya memasang tekad untuk keluar
daripada kekusutan itu.
Perlahan-perlahan aku mulai merangkak kembali kepada Tuhan. Memohon
petunjuk dan cahayaNya dari gaung kegelapan. Dan sedikit demi sedikit aku mulai
nampak bibit-bibit cahaya. Satu demi satu langkah Allah pandu.
Semuanya bermula dengan kembali kepada perkara asas; “Siapakah aku?”
Aku ialah abid dan khalifah. Yang
memikul bebanan dan tanggungjawab untuk meninggikan kalimah suci Tuhan dalam diriku,
masyarakat di sekelilingku dan dunia.
Justeru, apakah kelengkapan yang aku perlu? Bekalan paling
pentingku sama seperti bekalan golongan Muslim yang awal-awal dulu memeluk
Islam di zaman jahiliah Mekah; aqidah yang mantap. Maka, setiap majlis yang aku
hadir biarpun berbeza cara penyampaian dan suasana, semuanya menjurus ke arah
itu; pemantapan aqidah. Persoalan-persoalan mulai terjawab; “Apakah bukti Allah
itu benar-benar Satu? Kenapa perlunya kita beribadah? Siapakah manusia? Kenapa
perlunya sunnah Rasul?”
Kemudian, bila isu identiti diri sudah jelas, aku pula terarah kepada persoalan
umat. “Jika benar umat Islam umat terpilih, mengapa kita masih juga mundur?”
Dan persoalan itu terjawab dengan mempelajari penyakit-penyakit yang melanda
umat Islam hari ini. Bukan setakat belajar melalui mendengar, aku juga sendiri
berpengalaman merasai sendiri sebahagian daripada penyakit-penyakit itu. Aku memandang
pengalaman itu dari sudut pandang positif; setidaknya aku berpeluang merasai
dan menjiwai apakah perasaan dan cara fikir bila kita jatuh dan kehilangan
arah. Maka, aku berharap aku boleh jadi orang yang lebih memahami dan berupaya
menawarkan solusi yang lebih tepat jika ada individu yang menghadapi masalah
yang sama.
Penghujung 2017 ini pula, aku diberikan suatu amanah baru yang
berat. Jawatan yang perlu dibayar dengan harga yang mahal; masa, tenaga, buah
fikiran dan wang. Sudah tiba masanya untuk aku lebih bersungguh
memanifestasikan segala kepercayaan dan sedikit ilmu yang sudah terbina. Ilmu
bukan setakat di dada dan helaian buku, tapi perlu diserlahkan dengan amal,
peribadi dan kelakuanmu. Dan sekarang , aku sudah mulai terasa teruji. Tapi tak
mengapa, aku sudah lebih bersedia untuk menghadapi cabaran yang lebih berat;
menunaikan hak terhadap ilmu.
Comments
Post a Comment