KIN #5: Auntie Cina- Boleh Cakap Melayu tapi Tak Boleh Baca?



Kira-kira jam 7.30 pagi, aku memandu Maktok sebuah hospital untuk pemeriksaan kesihatan berkala beliau. Kaunter unit berkenaan masih belum buka ketika kami sampai. Memang selalu begitu. Maktok suka hadir awal dan dapatkan nombor giliran awal supaya boleh pulang awal juga. Ketika itu, ada dua orang lagi nenek Cina yang turut berlegar-legar di kawasan tempat menunggu unit tersebut. Kemudian, seorang daripada mereka menghampiri aku.
“Awak tahu ke apa yang dia tulis kat sini?” tanya nenek berbangsa Cina itu sambil menunjukkan label “Pendaftaran” berwarna kuning di mesin nombor tiket. Beliau memakai baju-T kain kapas berwarna kuning.
“Dia kata registration,” jawabku.
“Registration? Apa tu? Saya tak faham registration itu apa,” tanya beliau lagi.
Registration tu pendaftaran.”
“Pendaftaran tu apa? Saya tak tau,” tanya beliau lagi. Getar suaranya menggambarkan keresahannya.  
Aku pula yang bingung. Kemudian dia bercakap pula dengan seorang lagi nenek berbangsa Cina dalam bahasa Cina tapi aku tak tahu dialek apa. Sedihnya, nenek Cina itu pun tidak dapat memahami dialek Cina yang dituturkan oleh nenek berbaju kuning tadi. Kasihan. Maktok dan nenek Cina yang seorang lagi menyarankan beliau untuk bertanya kepada staf di situ dan ambil sahaja tiket nombor pendaftaran di mesin itu.
Setelah hal pendaftaran dah selesai, nenek Cina yang ada kesulitan berbahasa itu meluahkan perasaan kepadaku:
“Orang selalu ingat sebab saya boleh cakap Melayu, saya pandai baca tulisan Melayu. Tak, kadang-kadang saya tak faham,” ujarnya dengan riak muka sedih.
“Ada hari, saya kena marah sama bus driver bila saya tanya tempat mahu turun.”
Perbualan ringkas itu buat aku terfikir. Banyak juga ya komponen dalam bahasa; percakapan, pendengaran, pembacaan, pemahaman dan penulisan ialah skil-skil yang berbeza.
-------------
Contoh senang: orang buta huruf. Mereka boleh bertutur dalam sesuatu bahasa, tapi mereka tidak dapat membaca mahupun menulis.
Ada orang lain pula, mereka mampu membaca dan menulis dalam bahasa tertentu. Tapi itu tidak menjamin mereka boleh bertutur dengan fasih dalam bahasa tersebut. Contohnya bahasa Arab. Ramai Muslim boleh baca al-Quran yang dalam bahasa Arab, tapi bukan semua boleh bertutur dalam Arab secara spontan.
Berupaya membaca dengan lancar dalam sesuatu bahasa itu juga tidak menjamin kefahaman dan kemampuan untuk mencerna perkataan yang didengari. Macam aku ni ha. Boleh je baca kitab Arab sikit-sikit tanpa baris, tapi tahap kefahaman bahasa Arab masih lagi cetek. Sedih tau haha.
Banyak proses kognitif (otak) yang kompleks sedang berlaku ketika kita menggunakan bahasa.
Ayuh panjatkan syukur jika anda mampu bertutur, membaca, memahami dan menulis dalam apa jua bahasa. Itu semua nikmat besar yang memudahkan lagi proses kita menjalani hidup dengan lebih baik.

Dengan bahasa, kita mampu memahami orang lain, bahan bacaan dan suasana setempat. Dengan bahasa, kita mampu menyampaikan idea, perasaan dan maksud kita kepada orang lain. Dengan bahasa, kita dapat bekerjasama mencipta hal-hal luar biasa dan meluaskan capaian kebaikan ke pelbagai suku kaum dalam masyarakat. Alhamdulillah.

Nikmat apa lagi yang kita terlepas pandang dan take for granted? Huhu.
Auni B.,
30 Januari 2019,
8.05 pm,
Negeri Pesisir Pantai.

Comments

Popular Posts