Ramadhan & Raya Aku

Bismillah.

RAMADHAN YANG BERBEZA

Ramadhan kali ini tidak sama seperti Ramadhan yang lepas-lepas. Aku lagi mudah nak bangun sahur (rahmat Allah betul) & ajaibnya, keluarga aku sangat ceria waktu sahur. Rancak mengusik dan diselangi deraian tawa. Biasanya tahun-tahun sebelum ni, waktu sahur; mata takleh nak buka, senyap sahaja dan hanya cuba untuk menghabiskan makanan sahur secepatnya walaupun kelajuan makan macam siput sedut juga. Diiringi pula perasaan layu untuk berbuat apa-apa & hanya fokus untuk melelapkan mata sebentar untuk hilangkan mengantuk. 

Di akhir Ramadhan, Alhamdulillah walaupun target Ramadhan aku tidaklah tercapai dengan sempurna, target paling kritikal aku alhamdulillah berjaya tercapai. Maka, Syawal kali ini disambut dengan rasa bahagia dan semangat kemenangan yang aku sering baca dalam majalah Solusi dahulu. Tapi tipulah juga kalau tak sedih. Banyak juga detik Ramadhan yang aku bazirkan. Istighfar sister! 

SYAWAL & KEMENANGAN KECIL



Aku rasa bahagia Syawal ini. Namun bahagia yang dirasai bukanlah rasa bahagia & excited seperti seorang anak kecil yang naif (ie nak duit raya, makan sedap, boleh main bunga api).  Kehadiran Syawal ini aku sambut dengan kefahaman sedikit yang baru mampu dirasai & dialami sendiri. Bila telah merasa kelatnya jatuh, baru terasa manisnya bila Allah berikan kekuatan untuk bangkit sedikit demi sedikit. 
----
By the way, tahun ini ialah tahun pertama Aidilfitri kami sekeluarga tanpa Tokbah. 27 Oktober nanti genaplah setahun pemergiannya. Raya kali ni, "bittersweet" bak kata makcik bongsuku.

MALAM RAYA: TAKBIR

Seperti biasa, rumah Maktok akan dikunjungi rombongan takbir yang singgah dari rumah ke rumah. Tahun ini, ketua-ketua rombongan takbir senior yang pangkatnya atuk, ramai yang sudah sakit-sakit dan juga meninggal dunia. Maka golongan ayah & pakcik-pakcikku yang perlu mengetuai rombongan takbir selepas ini. Dan giliran para cucu lelaki pula untuk melaungkan takbir di dalam rumah-rumah yang dikunjungi. Bilangan orang yang mengikuti rombongan takbir juga kelihatan berkurang. 

Kaum perempuan pula, bersiap-siap di dapur & ruang makan untuk menghidang kudapan malam ringan kepada rombongan takbir. 

Di kala takbir dilaungkan, bergema rumah dengan kalimah-kalimah membesarkan Allah. Aku harap sangat tradisi ini kekal sampai bila-bila. 

Aku masih ingat tahun lepas, rombongan takbir turut datang. Tapi Tokbah sudah lupa dengan kawan-kawan masjidnya. Tahun ini pula, Tokbah sendiri sudah tiada. 

PAGI RAYA 

Pada jam 4.30 pagi, bau makanan 'harum' semerbak mulai memenuhi ruangan udara rumah. Maktok, ibu & bibik sedang bertungkus-lumus di dapur. Ibu menyediakan rempah nasi Arab, manakala maktok gigih memasak kuah kacang. Aku & adik pula berpagi-pagian memotong sayur-sayuran untuk salad salsa. Biasanya aku tak sempat nak join sesi memasak pagi-pagi buta ni, tapi entah beberapa tahun ni, terasa dewasa pula. 

Kemudian, jam 6.30-7 pagi, sarapan sudah terhidang untuk ahli keluarga sebelum solat Hari Raya. Kaum perempuan yang tak boleh solat pula sambung menyiapkan makanan untuk tetamu nanti. 

Jam 9 pagi begitu pula, pasti kaum perempuan terkocoh-kocoh bersiap-siap & ambil masa lama pula. Kemudian, berlakulah sesi pekik-memekik menyeru semua ahli keluarga untuk turun dan sedia untuk sesi bergambar, bersalaman & agih duit raya. 

Izinkan aku bernostalgia. Terbayang-bayang waktu-waktu dulu. Mak, ayah, makcik, pakcik & maktok :

"Cepat-cepat siap, tokbah dah tunggu tu. Nak masuk kereta dah."

"Lekas-lekas. Apa yang lama sangat tu."

Semua kena cepat & segera siap sebab Tokbah suka cepat. Tokbah la big boss kami. Kadang-kadang pressure juga asyik disuruh "lekas-lekas". Tapi bila Tokbah dah tiada pun, budaya "lekas-lekas" tu still runs in the family. Orang lain pula yang menggesa semua supaya cepat. Sebagai gadis yang perlu jadi matang, "just bear with it". Elak stres di pagi raya Haha. #redho

Bila bergambar pula, memang ketara lah. Maktok tiada pasangannya. A Queen without her King, I would say. And the Queen misses her King a lot. 
-----

"I don't feel anything this raya. Every kuih reminds me of him. He likes sweet things," said Maktok to her friend on the phone. 

"We just pray the best for him."

Aku berharap kesedihan beliau yang mendalam & memberatkan dada dapat hilang sedikit demi sedikit. Ya, wanita besi juga ada luka & pilunya yang tersendiri.

Selamat Hari Raya semua 🌸 Maaf Zahir Batin

Auni bt Baharin 
28 Jun 2017 
11.10 pm
Petaling Jaya 

Comments

Popular Posts