Debat Arab 2012 & Aku

2012

Suatu hari, kami dapat berita Ustaz N sedang mencari 4 orang wakil untuk pertandingan debat bahasa Arab di USIM. Siapa yang berminat, terus tulis nama tanpa sebarang ujian saringan. Entah bagaimana, aku terdetik & berminat untuk mencuba. Mungkin ustaz memang dah agak, tak ramai pun nak join sebab bunyi pun dah susah.

Yang untungnya, pertandingan ini ialah terus ke peringkat kebangsaan. Tak perlu lawan peringkat zon, daerah atau negeri. Markah koku untung la sikit, walaupun akhirnya markah kokurikulum aku zaman sekolah hanya lah B. Pelik juga tapi biarlah, cerita lama. 

Aku reti menulis sikit-sikit la karangan Arab. Bercakap dalam bahasa Arab, tidak la sangat. 

Sebelum ke pertandingan, para peserta diberikan masa untuk membuat persiapan untuk 10 usul debat. Tapi rupa-rupanya, kerja persiapan jadi dua kali ganda sebab setiap usul perlu ada hujah bagi pihak kerajaan & pembangkang. Jadi, dengan masa yang ada & kekangan komitmen lain ketika itu, kami berempat (aku, S, A & N) berhempas-pulas mengerah otak untuk mendapatkan hujah untuk 20 tajuk. Derita sangat rasanya 😭Sebab aku sendiri tiada pengalaman berdebat dalam bahasa Melayu atau Inggeris yang lebih dekat dengan aku. Jadi, agak susah untuk mendapat gambaran bagaimana untuk merangka hujah; derive points & perlu disokong dengan data-data supaya meyakinkan. Aku tak sure sangat apa yang aku buat, tapi dengan bantuan rakan-rakan, aku dapat juga la menyumbang sedikit idea semasa perbincangan. Selain tu, selepas siap merangka hujah, kami perlu menterjemah pula ke dalam bahasa Arab. 

Aku masih ingat ketika hari-hari terakhir sebelum ke pertandingan, ada satu sesi perbincangan terakhir dengan ustazah-ustazah bahasa Arab. Ketika itu, banyak lagi teks hujah yang belum diterjemah ke dalam bahasa Arab. Maka, dalam masa yang singkat, ustazah-ustazah cuba membantu kami menterjemah teks dan 'test' gaya persembahan. Masa tu, ayat pengenalan diri pun, aku belum hafal betul-betul. Apatah lagi, teks-teks hujah. Aku sendiri tak pasti sama ada kami perlu hafal segala teks bahasa Arab tersebut atau berhujah nanti sambil mengerling ke arah teks atau bagaimana. Sejujurnya, pada kebanyakan masa, kami terfikir; "Haih, boleh buat ke ni?" Rasa lemah semangat sering kali datang mengganggu, tapi kami cuba kuatkan semangat untuk cuba yang terbaik. 

Ketika itu, kami tidak lah mempunyai pelatih khusus untuk pasukan debat.  Rupa-rupanya, ada sekolah lain yang memang lantik pelatih khusus (yang memang seorang pendebat pro) untuk asah pasukan debat sekolah masing-masing. Walaupun fakta itu agak menggerunkan kami, tapi kami tetap cuba walaupun kadang-kadang rasa seolah-olah terkapai-kapai. *Takkan nak minta tolong ustaz ustazah pula yang terjemahkan teks banyak-banyak? Huhu, mereka pun ada banyak kerja lain. 

Kami ke tempat pertandingan dengan  menaiki bas kontinjen Terengganu, sekali dengan pasukan dari sekolah-sekolah Terengganu lain. Apabila tiba di tempat pertandingan & bergaul dengan peserta di sana, rupa-rupanya ramai peserta terdiri daripada pelajar tingkatan 5 & 6. Kami kira junior la sebab baru tingkatan 4 haha. 

Aku selalu jadi speaker pertama sebab aku tak reti nak bangkang hujah 😂baik dari segi isi & juga kelemahan menterjemah ke bahasa Arab secara spontan. Aku lemah skit bab spontan. Speaker pertama ni hanya perlu bentangkan hujah pertama. Biasanya hujah pertama dah dirangka dengan kemas, jadi lebih mudah untuk aku. 

Pada malam sebelum pertandingan, kami cuba compactkan hujah ke dalam nota-nota tangan. (Tak tahu la last minute ke tak sebab ni je pertandingan debat yang aku pernah masuk). Agak mustahil nak hafaz semua 20 teks 😭Manusia mana yang boleh hafal sebanyak tu :') Kalau hafaz poin-poin penting mungkin boleh, tapi kalau nak bagi penerangan secara spontan dalam bahasa Arab, aku tak mampu masa tu. 

Semasa pertandingan, sempat pula aku mengintai pihak lawan. Rupa-rupanya, mereka ada teks hujah yang dah siap bertaip kemas & dalam font yang bersaiz besar (dalam bentuk macam flash cards) supaya senang  intai masa tengah berdebat. Tercengang juga la aku dibuatnya. Bagi amatur macam aku ni, debat Arab seolah-olah macam 'baca' dari teks yang sedia ada. Tapi kalau pro, aku percaya mereka boleh spontan je melemparkan hujah huhu, macam yang bebudak berbangsa Melayu UIA baru ni berjaya buat di Qatar. 

Keputusannya: pasukan sekolahku hanya menang 2 daripada empat pusingan pada peringkat pertama. Cukup la tu alhamdulillah 😂Ingatkan tak menang langsung sebenarnya. Dan ada juga la sorang dua yang dapat pendebat terbaik di pusingan masing-masing. Ya, ni bukanlah pencapaian yang  boleh dibanggakan sangat oleh sekolah tapi kami dah cuba sehabis baik yang boleh dengan keadaan ketika itu :') 

Banyak yang aku belajar daripada pengalaman singkat aku dengan debat. Kenapa singkat? Sebab selepas je pertandingan tu, tobat aku tak nak join dah debat. Pertama, secara peribadi, jiwa aku kurang senang bila terpaksa berhujah melawan apa yang aku sendiri percaya & pegang hanya untuk menang pusingan. Rasa macam berpura-pura. Kedua, aku kurang gemar dengan perlian bernada provokasi semasa pertandingan. Bila kena sindir, pergh berasap dada. Sabo je lah menahan. Ibu kata, "tu la kena latih kekuatan emosi". Tapi takpe la, aku kurang suka budaya perli. 

Tetapi, memang banyak yang aku belajar. Pertama, debat ni melatih kita  untuk banyak berfikir dari segala sudut. Kena fikir kesemua 5W 1H (What, who, where, when, why & how) dan juga daripada perspektif pelbagai jenis orang. Kena fikir kemungkinan apa hujah balas dari pihak lawan. Bertambah juga la kedutan kat otak. 

Diskusi-diskusi semasa persiapan debat memberikan kesan yang amat amat besar kepada aku. Tak tipu. Aku ada makin banyak persoalan (sampai Ibu tak larat nak layan) dan berupaya untuk berfikir dengan lebih tajam biiznillah. Seterusnya, ia membantu juga aku untuk menulis esei bahasa Melayu, Inggeris & Arab dengan lebih baik. Aku sendiri pun terkejut dengan perubahan diri sendiri. Sebab sekali je aku masuk debat ni tapi besar betul kesannya. 

Kedua, aku dapat perhati & kenal insan-insan yang hebat, antaranya H & M. Sekolah H & M, SMA Khairiah berjaya masuk pertandingan suku akhir kalau tak silap, menentang KISAS. Pergh. Betapa lancarnya mereka bertutur dalam bahasa Arab! Kagum gila. H sampai sekarang. aktif dengan debat bahasa Arab di UIA. Aku? Tak nak dah, lebih selesa dengan bidang lain. 

Satu hal yang menakjubkan aku juga, ialah rupa-rupanya ada beberapa orang peserta debat yang akhirnya Allah pertemukan kembali di DQ & juga UIA; Along W aku, Kak Mar, AA & beberapa orang banin. Ajaib betul. Kita pernah berkumpul di suatu tempat suatu ketika dulu tanpa mengenali satu sama lain & kemudiannya Allah izinkan kita bertemu sekali lagi dan kini sebahagiannya menjadi sebaik-baik teman & senior. 

Sampai hari ini, aku masih menyimpan kekaguman kepada pendebat-pendebat kerana kepetahan berhujah & ketajaman fikiran. Tapi, mungkin ini bukan bidang aku. Mungkin aku terlalu lembut untuk jadi pendebat, lol. Mungkin juga Allah sedang mengabulkan maksud namaku haha ;)

Akhir kata, kalau ada peluang masuk debat, cuba lah. Tak rugi. 

Auni B
2 Ogos 2017
9.48 malam
Negeri pesisir pantai.

Comments

  1. Thanks for this post.It really inspiring me

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts