BAYANGAN



Saat aku berbaring semalam
Atas hamparan tilam toto
Mindaku melayang ke kisah-kisah semalam

Dulu katil hospital itu berdua
Kini tinggal satu
Kerusi utama tempat khas beliau dulu
Kini berganti orang,
Namun maktok setia di kerusi sisi itu.

Bunyi sayup suara yang selalu mengejutkan maktok
Juga diganti sepi, dan hanya deruan kipas siling
Aku juga masih terbayang saat tokbah seperti anak kecil
Harus diteman ke tandas jika ingin buang air

Aku jua ingat wajah riang maktok
Setiap kali beliau punya idea baru menu makanan tokbah
Pasti maktok sangat bersungguh & ceria untuk mencuba
Dan maktok akan suap ke tokbah dengan cermat

Kadang-kadang makanannya tumpah
Kadang tangan tokbah tak gagah
Terketar-ketar jika mahu menyuapkan makanan
Atau mencapai gelas minuman

Sungguh banyak lagi kenangan
Yang kekal bermain dalam bayangan
Ah kita baru sedar kuatnya rasa sayang
Bila yang depan mata sudah hilang. 

23 Mei 2017
12.07 PM
PJ.

Comments

Popular Posts