KIN#2 Kenalanku dan Depresi

18 Ogos 2018 (Sabtu)
7.00 pm


Kebelakangan ini, isu kesihatan mental mula mendapat perhatian masyarakat, media, malah kerajaan. Banyak statistik tentang kadar kemurungan yang tinggi mulai terpampang di dada akhbar dan lalu di timeline media sosial aku.

Kebetulan pula, sejak aku memulakan pengajian dalam bidang psikologi, semakin ramai pula kenalan sekeliling aku yang rupanya ada depresi atau kemurungan. Semuanya telah didiagnosis oleh orang yang bertauliah. Sebahagian daripada mereka masih menggunakan ubat yang diberikan pakar psikiatri dan masih konsisten ke temu janji doktor, sementara yang lain sudah berhenti. Aku tak tahu sama ada selama ini aku yang buta dan tidak cakna tentang isu kesihatan mental, atau sememangnya depresi semakin berleluasa dalam masyarakat.

Pada zahirnya, ada yang memang kelihatan seperti sedang menanggung masalah daripada raut wajah mereka yang jauh sugul daripada kebiasaan. Ada pula yang jarang sekali menunjukkan emosi dan masih terus menjalankan kerja-kerja dengan efisien. Pandai sekali mereka menyembunyikannya. Ada pula yang zahirnya terlihat gembira dan bila ditanya di alam maya, dijawabnya “ Saya okay je xD”  walhal Allah sahaja yang tahu apa yang berkecamuk dalam jiwanya.

Bila aku ada peluang bersembang ‘one-to-one’, mulalah si lawan bicara membuka cerita tentang masalah yang dihadapi. Tentunya selepas hubungan dan kepercayaan telah dibina, baru si dia yakin untuk membuka cerita.

Daripada cerita mereka, ada berbagai-bagai sebab yang mungkin menjadi faktor mereka mengalami depresi.  Antaranya termasuklah konflik keluarga, masalah ekonomi akibat perceraian ibu bapa, terlalu banyak berfikir dan juga trauma seksual yang dihadapi sewaktu zaman kanak-kanak dan remaja. Malah, ada yang mempunyai isu-isu tersebut sekali gus. Bayangkan betapa beratnya ujian yang ditanggung oleh seorang manusia kerdil. Tapi aku masih percaya yang Tuhan itu Maha Adil dan tidak akan sesekali membebankan seseorang melebihi kemampuannya.

Aku juga tidak tahu mengapa Allah gerakkan hati insan-insan terpilih ini untuk membuka cerita depresi mereka kepadaku. Aku hanya pelajar ijazah psikologi tahun 2 yang belum boleh berbuat apa-apa rawatan. Bila mereka bercerita, aku hanya mampu mendengar dan memberikan saranan untuk berjumpa kaunselor universiti atau pakar psikologi. Sebab aku tahu memberikan nasihat yang salah boleh memburukkan lagi keadaan mereka. Kadang-kadang aku pula naik tertekan melihat keadaan kenalan-kenalan yang kadang-kadang semakin parah, namun aku tidak mampu berbuat apa-apa yang realistik untuk membantunya.

Mungkin suatu hari nanti aku akan nampak hikmah di sebalik semua ini.

Comments

Popular Posts