Memperkenalkan: Siri Kembara Ilmu Nafs (KIN)

Apa itu Ilm Nafs? 


Ilm Nafs jika diterjemahkan secara literal ialah psikologi. Definisi psikologi pula ialah “the scientific study of behaviour and mental processes.” Saya memilih istilah Ilm Nafs untuk siri ini kerana istilah Arabnya rasa lebih dekat dengan jiwa saya.

Pengisian KIN
KIN ialah siri penulisan baru saya untuk merakamkan segala buah fikiran, ilham, persoalan dan apa jua ilmu yang saya dapat daripada bidang psikologi, Islam, masyarakat dan kehidupan. InsyaAllah post pertama akan keluar pada 20 Ogos 2018 (Isnin ini).

Mengapa tulis KIN?

Sebenarnya sudah lama saya bercadang untuk menulis perjalanan saya mempelajari psikologi, Islam dan kehidupan. Tetapi, saya kurang berani kerana bimbang tersilap bicara. Namun setelah menghadapi kebekuan fikiran selama beberapa semester ini, saya berpendapat menulis KIN ini suatu keperluan yang kritikal untuk diri saya. Saya hanya ingin merangsang diri dan anda untuk berfikir tentang ilmu yang dipelajari di kelas.

Ilmu itu akan hidup bila dapat dikaitkan dengan kehidupan seharian dan pengamatan terhadap kejadian-kejadian di sekeliling kita. Alangkah rugi apabila saya hanya masuk dan keluar kelas hanya untuk menghabiskan silibus. Belajar pula hanya berdasarkan buku teks yang wajib, tiada ilmu tambahan.  Buku-buku teks tebal psikologi itu pula itu umpama satu beban yang perlu ditamatkan pembacaannya berdasarkan ‘course outline’ yang diberikan. Akhirnya, segala informasi itu hanya kekal kering kontang di helaian buku dan tidak dapat dimanfaatkan dalam hidup.

Pensyarah History and Philosophy of Psychology juga telah menginspirasikan saya secara tidak langsung untuk menulis siri KIN ini. Beliau pernah menyeru di dalam kelas agar para pelajar tidak membuta tuli menerima segala isi kandungan buku-buku teks psikologi. Idea-idea dan teori-teori yang bercanggah dengan prinsip Islam boleh (malah perlu) dicabar dan dipersoalkan. Manakala idea atau teori yang bersifat neutral dan selari  dengan prinsip Islam boleh diaplikasikan.

Sejak saya mengambil Research Methodology semester lepas, saya mulai sedar bahawa untuk menguasai bidang ini (atau apa jua bidang pun), kita perlukan bacaan tambahan luar bilik kuliah, banyak berfikir, berbincang dan turun padang mengenali semua lapisan masyarakat mengikut kemampuan.

Disclaimer

Saya masih lagi seorang pelajar ‘undergraduate’ dalam bidang psikologi yang sedang cuba memberikan makna kepada ilmu Psikologi yang saya pelajari di kelas. Segala posts tidak bertujuan untuk menjadi sebuah kerja akademik, hanya sebagai perkongsian pengalaman sepanjang menjadi pelajar.  Jika saya tidak mulai berfikir dan mengajak pelajar lain seperti saya untuk turut berfikir sekarang, maka bila lagi? Namun, saya akan cuba memastikan setiap fakta yang dimasukkan akan diletakkan rujukan untuk memastikan kesahihannya. Segala penambahbaikan, teguran dan perbincangan amat saya alu-alukan.

Salam ilmu dan persahabatan.



Rujukan:
Saundra K. Cicarelli, J. N. (2015). Psychology . Essex: Pearson .

Comments

Popular Posts