TERHAKIS
Bismillah.
Sunyi. Hanya dengungan rancangan
televisyen yang sedang ditonton Atok sayup-sayup kedengaran. Derapan tapak kaki
Adik yang berlari riang semalam sudah hilang dari pendengaran. Tuannya sudah
diangkut ke Terengganu. Semalam rumah dua tingkat itu gegak gempita dengan
kehadiran cucu-cucu.
Hari itu, Aisy ditinggalkan lagi,
sendiri. Keluarganya sudah bertolak ke bandar
pesisir pantai. Ah. Dia sudah biasa hidup begitu. Sendiri? Dia sahaja yang
merasakan begitu. Hakikatnya ada 3 lagi
insan penghuni rumah banglo itu. Semuanya sudah lebih separuh abad tuanya
daripada dirinya yang baru 19 tahun.
Rutinnya hampir setiap pagi
hujung minggu, tolong Opah menyidai pakaian. Kadang-kadang kalau Aisy terlajak
tidur, pakaian yang baru siap dicuci mesin basuh itu sudah terelok sidai di
bawah sinaran suria. Mesti Opah yang sidai sendiri. Opah memang aktif, tak
boleh duduk diam. “Tak reti,” ujarnya. Pada hari lainnya, Aisy tolong Tok Adik di
dapur, siapkan sarapan sekali gus belajar resepi baru. Serampang dua mata.
Apabila matahari tegak di kepala, dia pergi pula mengangkat segala sidaian yang
kering.
Setiap kali waktu makan, meja
makan perlu disiapkan; pinggan, cawan, sudu garfu, air dan lauk pauk. Selesai
makan, kemas meja dan cuci pinggan. Dan sebolehnya standby untuk layan tokbah
kebanyakan masanya.Sedang dia menghadap buku-buku dan assignments di ruangan
makan, bunyi derapan langkah Atok perlahan menghampiri. Opah keluar sekejap
untuk beli barangan rumah. Aisy masih pemandu amatur, belum berani untuk
memandu sendiri. Tambahan pula, dia masih belum mengingati selok-belok Petaling
Jaya.
“Ha..”
“Na..”
Ha dan Na, dua-dua tu nama timangan mak dan mak saudara aku.
“Mm.. Tak pernah ingat nama aku”, monolognya sendirian.
Kepalanya digelengkan. “Ha bukan, Na pun bukan, Atok. Aisy.”
“A a ambilkan Atok air manis.” Tergagap-gagap. Atok pun
menarik kerusi kayu itu perlahan dan melabuhkan punggungnya. Suaranya tak
segagah dulu, pertuturannya tak sejelas dulu. Kepalanya juga sudah memutih. Rambutnya
yang dulu sering tersisir rapi, sudah semakin kurang terurus.
Aisy bangun melangkah ke dapur. Peti sejuk tua berwarna hijau lumut dikuak. Botol
yang berisi air manis Atok itu ringan bila digoyang-goyangkan. Air Ribena yang
baru je dibancuh pagi tadi, hampir sampai ke penghujungnya. Keluhan kecil
dilepaskan. Dah gelas kelima.
“Nah Atok, dah habis tau.”
Baru sahaja Aisy menghadam satu mukasurat buku Islam and
Other Religions, atok dah menyeru kembali.
“Na, tambah sikit air.”Dilihatnya air berwarna ungu kemerahan itu masih ada suku
gelas lagi.
“Habiskan dulu tokbah.” Biasanya atok akan tinggalkan air
dan berlalu pergi masuk ke bilik tanpa menghabiskannya. Atok lupa airnya belum
habis. Opah biasanya suruh Atok habiskan
dulu airnya baru boleh diisi lagi, Aisy Cuma ikut cara Opah. Tak baik
membazir. Membazir kawan syaitan.
“Tambah sikit je.”
“Ada lagi tu. Dah habis, baaru boleh tambah. ”
“TAMBAH.” Nada suara tokbah dah meninggi. Bila dah naik
suara, Aisy tak berani melawan.
Diam. Akur. Bangun. Tambah air. Letak. Duduk.
Ulangi setiap hari. Lima kali
sehari. Kadang- kadang Atok minta disapukan minyak panas di badannya yang
terasa gatal-gatal dan ambilkan kuih. Atok dah banyak lupa, soalan yang sama
akan diulanginya dalam setiap 2-3 minit. Melayan soalan Atok yang
berulang-ulang yang lebih meletihkan berbanding kerja fizikal sebenarnya. Dan
Atok akan lebih resah bila Opah keluar rumah sekejap, pasti diminta untuk
telefon Opah berulang kali.
Aisy cuma mengharapkan dia ada
segunung lagi kesabaran untuk menghadapi hari-hari seterusnya. Hari itu,
kesabarannya sudah makin menipis. Sukar untuk Aisy menelaah pelajaran di sini.
Komitmen-komitmen lain sering memanggil-manggil, berselang-seli dengan
panggilan Atok. Sering kali, dia berharap untuk segera pulang ke Pusat Asasi,
lagi-lagi pada musim peperiksaan ini.
“Allah.” Tarik nafas dalam-dalam dan teruskan kehidupan.
5 pagi. Isnin.
Aisy berhajat untuk puasa
esoknya. Langkah-langkah perlahan diatur menuruni tangga kayu banglo itu, rasa
mengantuknya masih belum hilang lagi. Cahaya lampu kalimantang sudah terang menyimbahi
dapur yang sempit itu. Bunyi- bunyi pinggan mangkuk berlaga kuat kedengaran.
Wanita besi itu. Beliau gigih mengemas dapur dan menyimpan segala perkakas
dapur yang masih berselerak di bekas pengering pinggan. Memang beliau tak
begitu menggemari melihat dapurnya penuh dan berselerak. Aku intai dari sebalik
dinding dapur. Badannya sudah kurus, semakin fragile. Kelihatan tulang bahu dan
belikatnya berbekas di bawah baju kaftan
Terengganu yang dipakainya.
Opah begitu sabar menjaga Atok daripada awal perkahwinan mereka
sehingga saat-saat akhir umur mereka. Atok sangat manja dengan Opah sehingga
sekarang. Ketika umurnya menginjak 80-an ini, mulut beliau selalu
memanggil-manggil Opah untuk membantunya mengurus diri; kebelakangan ini
sehingga ke urusan tandas. Atok
menghidap penyakit dementia; lupa-lupa, adik-beradik Alzheimer. Malah baru-baru
ini, berat Opah susut secara mendadak, 10 kilogram sekali gus kerana keletihan
mengurus rumah.
Rupanya, ada hikmahnya dulu hati Aisy cenderung untuk tekad menukar kursus
dari Asasi Sains Hayat kepada Sains Kemanusiaan. Walaupun seringkali telinganya
bingit apabila ada sesetengah yang seolah-olah merendah-rendahkan bidang yang
dipilihnya. Jika dulu dia pilih untuk terus menceburi bidang sains, dia perlu berhijrah
ke Gambang. Beban Opah pasti lagi berat. Tiada pembantu yang boleh meringankan
kerja-kerjanya di rumah. Dengan adanya Aisy, beban kerja rumah boleh juga
dikongsi serba sedikit pada hujung minggu, walaupun tak banyak.
Ah, Aisy teringat akan
kesabarannya yang begitu cepat menipis kebelakangan ini. Kadang-kadang, dia
rasa ingin memberontak dan kadang-kadang “switch off” buat sementara.
Tanggungjawab di rumah, pelajaran dan organisasi kecilnya terasa payah untuk
diimbang. Namun, melihatkan Opah yang masih gigih berbakti kepada Atok yang
makin uzur, Aisy rasa malu. Kesabarannya bila dibandingkan dengan kesabaran
Opah; jauh sekali seperti langit dan bumi. Aisy patutnya lebih bersabar untuk
membantu Atok dan Opah selagi boleh.
“Aku yang jauh lebih muda
patutnya lebih banyak dan bersemangat menabur bakti. Kawal jiwa kau yang liar. Kau
kena belajar Aisy, belajar untuk bahagia. Bahagia dalam berbakti,” bisik
hatinya.
Rabbanaa afrigh ‘alainaa
sobran wathabbit aqdaamana wansurna ‘alaa al- qaumil kaafiriin.
Have courage and be kind! ♥♥♥
ReplyDeletethanks aishah :3
DeleteSeorang Aisy, teruskan kesabaranmu. Hanya Allah yg Tahu. Nilai di sisiNya jauh lebih mahal :)
ReplyDeleteAmiin Husna, syukran untuk kata-kata semangat <3
Deletecerita-cerita ini untuk bagi gambaran masa tua nanti macam mana :)
Delete