Tiada Lagi Nafas Baru




7 pagi

Ibuku sedang lena di sisiku. Keletihan, barangkali kerana Ibu telah berjaga semalaman bersama Ayah Long. Aku baru sahaja tiba di rumah Opah di Petaling Jaya jam 11.30 malam semalam. Aku juga tidur di bilik Tokbah dan Opah bersama Ibu, untuk menemani Ibu. Beberapa kali juga Ibu dan Ayah Long menukar lampin Tokbah. 

Aku sedang skrol laman Instagram ketika Opah menelefon telefon pintar Ibu. Ibu yang masih mamai dari alam mimpi terjaga dan terus duduk. 

“Layyin, jom turun sekarang. Opah kata Tokbah lain macam dah.”
“Sekarang?”
“Ya”.

Ketika sampai di bilik Opah, pernafasan Tokbah sudah semakin kuat. Dadanya berombak, naik dan turun. Mulutnya terbuka sedikit. Matanya juga tidak terkatup rapat; terbuka sedikit dan seperti merenung jauh. Ayah Long yang masih berbaju Pagoda putih sedang berusaha mendapatkan bacaan tekanan darah Tokbah. Dicubanya beberapa kali, tidak berjaya. Asyik keluar, “Ralat”. Lithe, si jururawat Filipina dan Maktok sedang berdiri di sisi katil Tokbah. 

Akhirnya, tekanan darah Tokbah dapat dibaca, tapi bacaannya sangat rendah, 50 lebih. Sepatutnya tekanan darah yang normal 100 ke atas. Ibu sudah mulai berkerut. Air mata Lithe sudah mulai berjuraian. Mungkin dia sudah biasa melalui saat begini, jadi dia seperti boleh mengagak, masanya sudah begitu dekat. Bila diperiksa tekanan darah sekali lagi, bacaannya menurun lagi. Jadi, saatnya semakin hampir untuk kami bersedia. 

“Dah call Ucu?” tanya Opah kepada Ibu.
“Dah, kejap lagi dorang sampai.”
“Layyin, bacakan Yasin untuk Tokbah ye”, ujar Ibu. 
Aku mengangguk patuh dan mulai membaca Yasin dengan perlahan. 

7.30 pagi
Nafasnya semakin kuat, tersekat-sekat. Seolah-olah ada kahak di tekaknya, tapi sebenarnya tiada. Seperti paru-parunya bekerja keras untuk menghirup oksigen. Nafasnya umpama semakin  hampir dengan kerongkong. Maktok dan Ayah Long bergilir-gilir membisikkan lafaz syahadah di telinga Tokbah. Sungguh perlahan bisikan Maktok. Aku hampir tak mendengarnya. Suasana di bilik Tokbah sungguh diam, sepi. Hanya jelas kedengaran bunyi kipas berpusing dan katil air pressure mengembang dan mengecut. 

Sesekali aku mengalihkan pandanganku daripada menatap helaian naskhah surah Yasin yang makin menguning. Kesugulan jelas terasa dan menyelubungi kesegaran pagi Khamis itu. Maktok, Ayah Long dan Ibu setia berdiri menemani Tokbah di sisi katil. Ibu memicit-micit tangan Tokbah dengan lembut.

7.45 pagi
Mak Ucu belum juga tiba. Ibu sudah mulai resah.
“Mana Ucu ni? Takut tak sempat”, desus Ibu. Beberapa  minit kemudian, mereka pun tiba. Amir dan Pak Ucu menyertai aku membaca Yasin. Mak Ucu segera berdiri di sisi katil Tokbah. Wajahnya jelas mempamerkan kesedihan. Dahinya berkerut. 

“Long, tolong hulurkan tisu,” kata maktok dengan suara yang sedikit bergetar. 

Maktok mengesat beberapa titis air matanya. Matanya kemerahan. Mak Ucu, Pak Ucu, Ameer, Lithe dan Ibu sudah mulai menitiskan air mata sekali-sekala.Tokbah menarik nafas panjang tapi hanya menghembuskannya dengan pendek. Hampir tiga kali nafasnya seperti sudah amat perlahan dan tidak kedengaran, kemudian tiba-tiba Tokbah menarik nafas baru. 

8.00 pagi
Nafas Tokbah tiba-tiba berhenti. Aku dan yang lain, semua menunggu. Mungkin tiba-tiba Tokbah menyedut nafsu baru seperti sebelum itu. Tapi tidak. Tokbah hanya diam dan terus diam. Tiada lagi nafas baru. Ayah Long meletakkan jari telunjuknya di bawah lubang hidung Tokbah untuk merasa sama ada masih ada pergerakan udara. Tiada. Kemudian, Ayah Long mulai memeriksa nadi di leher dan di pergelangan tangan. Ibu masih memegang tangan Tokbah. 

“Tangan dah sejuk,” ujar Ibu.
“Nadi pun dah takde,” kata Ayah Long.
Aku pun berhenti membaca Yasin, setelah sempat 3 pusingan.
“Kena rapatkan mulut, mana kain putih tadi? Atau bandage?”, ujar Maktok.
“Tadi ada, ha ni dia,” kata Ayah Long. 

Ayah Long cuba untuk menggunakan bandage untuk mengikatnya dari bawah rahang Tokbah ke atas kepala. Tapi bandage itu elastic, maka rahangnya asyik terbuka juga. Sebenarnya bahagian atas badan Tokbah sedikit tinggi kerana posisi katil. Kemudian, aku mencadangkan agar posisi katil dikembalikan ke posisi rata kembali. Ayah Long juga cuba menutup mata Tokbah yang sedikit terbuka. 

“Tolong ambik kain batik tadi,” kata Maktok. 
Lalu kami pun menyelimutkan badan Tokbah dengan kain tersebut.Kemudian, Ayah Ucu aku dan sepupu bertolak ke balai polis untuk melaporkan kematian. Mak Ucu menelefon doctor untuk mengesahkan kematian dan juga pihak masjid berdekatan kawasan perumahan itu. Ibu menelefon ayah pula yang jauh nun di Terengganu bersama adik-adikku yang baru sahaja dihantar ke sekolah pagi itu untuk mengkhabarkan tentang pemergian Tokbah. 

Urusan masih panjang.  

8.16 PM
26 November 2016
PJ.

Comments

Popular Posts