GARIS MASA HIDUPKU & BUKU-BUKU YANG MENGIRINGINYA

Bismillah.

Aku lupa bagaimana perasaan cinta pada buku mulai tumbuh dalam diri aku. Barang kali didikan ibu ayah. Cumanya aku masih ingat buku-buku nipis yang hanya tebalnya 10 mukasurat, dan diwarnakan merah untuk suku kata kedua sesuatu perkataan. Buku itu penuh dengan gambar kartun-kartun berwarna-warni sesuai untuk menarik perhatian anak kecil.

Kemudian, aku diperkenalkan pula dengan siri buku Ladybird yang berkulit keras. 



Zaman sekolah rendahku ialah usia aku berjinak-jinak dengan buku-buku fiksyen bahasa Inggeris. Semasa masih tinggal di Selangor, ibu selalu membenarkan aku beli buku-buku fiksyen klasik Inggeris di Carrefour; siri Great Illustrated Classics, hanya RM9.90 sebuah. Versi kulit keras dan saiz tulisannya agak besar, mungkin saiz 14(?). Antara tajuk yang aku pernah baca termasuklah The Secret Garden, Pride and Prejudice, Prince and Pauper, Jane Eyre, The Secret Princess, Little Women and Anna of Green Gables. Bila tengok balik tajuk-tajuk yang aku pernah baca, semua watak utamanya perempuan haha. Mungkin sebab lebih 'relatable'. Ada je koleksi buku-buku mak aku seperti Gullivan's Travel, King's Arthur dan lain-lain yang watak utamanya lelaki, tapi aku tak minat nak baca masa tu. 



Tipulah kalau tak baca komik. Antara yang aku suka Detective Conan dan Doraemeon. Dapat baca ni pun sebab ada saudara yang dah dewasa tengah nak give away komik-komik lamanya. Aku mula baca majalah disebabkan makcik aku yang suka beli;  Ujang, Mastika & Jelita. Tapi sebenarnya ibu tak bagi pun budak-budak baca majalah-majalah ni; Ujang sebab bahasanya boleh jadi kasar, Mastika sebab ada cerita hantu & Jelita sebab majalah orang besar. Tapi dah bersepah kat rumah tok, apa lagi baca je lah.




Kemudian, aku mula terjebak membaca buku-buku fiksyen seram (horror la sangat! Haha) iaitu siri Mr Midnight yang dalam bahasa Inggeris. Siri buku Mr Midnight ni pun murah juga masa tu, dalam RM10 kalau tak silap. Aku suka baca Mr Midnight sebab jalan ceritanya tak boleh dijangka dan kadang-kadang terlebih imaginasi xD dan sudah tentu tak logik. Biarlah kanak-kanak perlukan imaginasi & kreativiti😌



Semakin aku meningkat remaja, aku mulai membaca siri buku novel remaja tulisan Ain Maisarah pula. Buku pertama aku; "Aku Mahu Popular". Sejak tu aku selalu la beli buku "Aku Mahu.." tapi yang paling aku suka ialah siri Impiana sebab kisah suspen sikit. Gedik juga taste aku dulu haha. Buku siri "Aku Mahu" berkisar tentang pelajar sekolah menengah perempuan yang sentiasa inginkan sesuatu; popular, kurus, melancong dll. Watak-watak utamanya; Farah & Ina (budak-budak biasa) versus watak-watak diva sekolah (The Wannababes yang melampau gediknya). Di samping itu, aku juga meminati novel-novel remaja terbitan PTS yang lain. Antara kegemaran aku, GTOlan, Puteri Salsabila, Mengapa Aku Jadi Pengetua, Detektif Bertudung Hitam dan banyak lagi. 



Seterusnya, semasa di sekolah menengah, aku terjumpa siri buku penyiasatan bahasa Inggeris; siri Nancy Drew di perpustakaan sekolah dan buku karya Agatha Christie di kedai buku. Aku juga terjumpa buku Judy Blume yang kebanyakannya tentang isu-isu remaja berlatarkan Amerika. Rupanya Judy Blume & Agatha Christie ni penulis-penulis lama sebab mak aku pun baca zaman beliau remaja.




Kemudian ketika aku berada di sekolah menengah juga, aku khatamkan siri buku Harry Potter kepunyaan ibu dan sepupuku. Kemudian, siri Inkheart & Inkspell yang juga bertemakan fantasi. 



Kemudian, mungkin masa aku tingkatan 3 atau 4, aku mulai rasa bosan baca buku fiksyen, fantasi. Sebab aku mulai sedar cerita tu semua bukannya betul. Tapi pendedahan aku kepada banyak buku Inggeris sangat berguna untuk penulisan esei Bahasa Inggeris aku zaman sekolah. Aku tak ingat sangat pun tatabahasa/grammar walaupun dah belajar sebab teknikal sangat. Hanya tulis ikut sedap rasa & "macam pernah baca je ayat ni". Alhamdulillah firasat selalunya betul mungkin sebab dah terbiasa baca.

Disebabkan bosan dengan alam fantasi,  aku mulai mencari buku-buku motivasi & tips belajar dari syarikat Telaga Biru untuk bantu aku dalam pembelajaran. Aku juga mulai membaca majalah Solusi & GenQ. Masa ni, memang obses dengan majalah Solusi, jadi pelanggan setia. Seterusnya, aku mulai baca buku-buku agama terbitan Telaga Biru dan PTS. Contohnya; tentang al-Fatih, Wasiat Sebelum Bergelar Ulama, Sehingga al-Quran Terpahat di Hati, solat, dsb. 




Aku masih rasa aku memerlukan buku yang berbentuk naratif untuk kesihatan emosi & imaginasi (lol). Jadi, aku cuba cari buku-buku autobiografi seperti I am Malala tapi aku gagal habiskan dan juga buku-buku penulis antarabangsa yang dalam bahasa Inggeris seperti Khalil Hosseini tapi aku juga gagal habiskannya. Sebab jalan cerita macam pelik tak sanggup nak habiskan. Haha




Di DQ, aku mulai terdedah dengan bacaan lebih berat. Aku baru tahu apa itu kitab Aqidatun Najin, Riyadhussolihin, Jauharatul Tauhid, Fiqh Manhaji, Bulughul Maram dsb. Kenal nama je lah, isi belum lagi huhu. Masa ni juga, buku HAMKA & buku-buku Indonesia seperti tulisan Salim A Fillah, Tere Liye tengah hot di DQ. Aku pun beli la beberapa buah buku Indonesia tu. Cara penulisan buku Indonesia lebih halus dan meliang-liuk daripada buku-buku bahasa Melayu yang aku pernah baca. Mungkin sebab masa ni aku belum terdedah kepada karya-karya sastera orang Melayu Malaysia lagi. 





Zaman ni juga dapat baucer buku. Kat DQ, bukannya banyak pun buku kena beli. Jadi boleh guna untuk beli buku lain. Rasanya waktu ni, aku mula cari  buku-buku agama tulisan agamawan (?) antarabangsa (bukan tempatan) dalam bahasa Inggeris. Aku nak cuba cari kelainan idea & cara penyampaian ilmu tu. Sebab ada satu tahap, masa aku tengah 'gila' baca buku agama terbitan Telaga Biru & PTS, aku rasa aku di tahap 'stagnancy' sebab isi macam lebih kurang.

Masa dapat baucer buku di DQ , aku pergi borong buku- buku Islam dalam bahasa Inggeris di Kinokuniya. Antara buku terawal yang aku sayang sangat; Islam & the World tulisan Sayyid Hassan Ali An Nadwi. Buku-buku lain; Raheeq Makhtum, The Ideal Muslimah dll.


Di zaman asasi, aku rasa aku kurang sikit keghairahan membaca sebab agak sibuk dengan urusan keluarga.Cuma aku mula berjinak sikit-sikit baca novel-novel Faisal Tehrani dan HAMKA. Dan juga buku Dr Mat Rofa yang mencetuskan minat aku untuk ambil tahu tentang sejarah ulama-ulama dan umat Islam di alam Melayu dulu. Memang mengagumkan sangat bila teroka lagi!



 

Sekarang di UIA, minat aku lebih menjurus untuk mendalami kembali al-Quran dan Sunnah. Sebab sesungguhnya bidang psikologi memerlukan proses Islamisasi. Dan kalau kita nak Islamisasi-kan bidang ini, pastinya perlu kembali mendalami sumber-sumber utama agama Islam kita ini. Jadi, antara buku yang aku dah beli tapi belum habis baca atau ada yang belum mula pun; 





Aku sejujurnya cemburu melihat rakan-rakan yang mengambil pengajian Islam aka IRK boleh membaca kitab/buku dalam bahasa Arab. Dah hampir 3 tahun aku tak ada kelas formal dalam bahasa Arab, hanya kuliah-kuliah dwi bahasa di masjid UIA (bahasa Inggeris & bahasa Arab) yang aku sekali-sekala datang. Kitab-kitab agama memang banyak di rumah maktok aku, cuma kita belajar agama ni, terbaiknya dengan berguru. Ye kan? Aku ni budak psikologi yang masih ragu-ragu nak minor Quran Sunnah ke tidak.

Sekarang, di usia 20-an, aku hanya akan beli buku yang aku rasa berguna untuk aku simpan sampai hujung nyawa. Lagipun, memang banyak lagi pun yang belum sempat dibaca. Bak kata ibu, "Berkoyan lagi belum baca." Atau kemungkinan besar juga aku yang banyak buang masa dek godaan  media sosial. By the way, Terima kasih, ibu, ayah & juga maktok sebab bagi kebebasan untuk Auni pilih dan beli buku dari lahir sampai sekarang. Bukan semua orang mampu untuk beli buku.

Sekian sahaja riwayat hidup aku setakat ini dengan buku-bukuku. Riwayat anda bagaimana?

Semoga semangat membaca terus hidup. Semoga hubungan kita dengan buku-buku berterusan sehingga hujung nyawa! Semoga rakan-rakan juga dapat membentuk hubungan istimewa yang tersendiri dengan buku-buku anda😊

Bacalah dengan nama Tuhanmu! Selamat mencari kebenaran.

Comments

Popular Posts