Tok Itam dan Tok Ucu

"Assalamualaikum! Tok Itam, Tok Ucu!, teriak adik aku dari luar pagar rumahnya.

Aidilfitri kali itu, kami setuju untuk jenguk saudara-saudara di Muar. 
Seperti biasa kami sekeluarga besar berkonvoi ke sana.

"Waalaikumussalam! ", sahut suatu suara kecil.

Kanak-kanak itu memecut keluar dari pintu rumah dan berlari-lari diikuti oleh kakaknya yang baru berusia 9 tahun. 

"Sekejap." Sahut suara wanita tua pula. 

Langkah wanita tua itu perlahan, menapak satu demi satu. Kakinya yang bengkak dek kencing manis menyukarkan lagi pergerakannya. 

Makanan kucing di depan kawasan rumahnya bertabur, bersepah di sekeliling bekasnya. 

Setelah selesai bersalam-salaman, kami menjejakkan kaki ke dalam rumah. 

Bau tengik kucing dan najis kencingnya menusuk tajam hidung kami. 

Orang-orang tua mula berborak-borak, bertukar khabar. Tok Itam yang amat kurus biasanya akan duduk-duduk sahaja, kerana dia menghidap darah tinggi dan sudah semakin uzur. Tok Ucu yang lebih muda akan menguruskan cucu-cucu mereka. 

"Jemput la makan kuih-kuih kering ni. Apa yang ada je lah."

"Tumpang dapur ye, nak tumpang basuh tangan."

Aku tergamam melihat keadaan dapurnya.. Bekas-bekas makanan yang kotor dan tak berbasuh bertimbun-timbun di atas kaunter dapur dan juga memenuhi ruang lantai.
Sisa-sisa makanan pun tidak dibuang di tempat sepatutnya. Menambahkan lagi bau yang kurang menyenangkan itu. Makanan kucing turut bertaburan di situ.

Cucu-cucunya berlari- berlari di dalam dan luar rumah, sekejap-sekejap terjerit-jerit bergaduh. Lalu Tok Ucu terpaksa meninggikan suara untuk meleraikan pergaduhan mereka. 

Bila kami meminta izin untuk menumpang solat, kami ditunjukkan ke suatu bilik. 
Baju-baju tidak berlipat membentuk satu timbunan yang tinggi di atas katil di bilik tetamu.

Bau tengik tadi masih dapat dibau. Kurang selesa sejujurnya untuk solat di situ. Bimbang terdapat najis dan air kencing kucing di situ tanpa disedari. 

Tapi semua luahan tersebut  disimpan kemas-kemas. 
---------
Dua beradik perempuan yang membujang sehingga ke akhir hayat mereka.

Masing-masing mengambil anak angkat. Fitrah manusia, pasti mahukan zuriat. 

Namun sayang, bila dewasa, anak-anak mereka berkahwin... Cucu-cucunya ditinggalkan untuk  dijaga oleh Tok Itam dan Tok Ucu yang hanya bergantung pada pencen kerajaan. 

Tiga orang cucu; dua lelaki, satu perempuan.

-------
Hanya sesekali aku dapat melihat ibu kepada budak-budak yang masih mentah tu. 

Rambutnya perang, pakaiannya ketat tak menepati syariat.
Malah sudah bercerai. Gaji pun kecil, belajar tak tinggi.

Aku tak menyalahkan ibunya sepenuhnya. Ibunya juga ada sejarah. Tapi aku tak pernah korek bagaimana dia boleh diambil sebagai anak angkat. 

---------

Kini, semuanya tinggal memori. Memori pahit, yang meninggalkan resah di hati.

Tok Itam sudah setahun lebih kembali ke rahmatullah. Terlantar di hospital beberapa lama, dijaga oleh nenekku. Ketika kali terakhir aku menjenguknya, boleh dikatakan, kulitnya hanya menyaluti tulang-belulangnya. Begitu "fragile". 

Tok Ucu baru pergi tahun ini. Meninggal di katil di rumah nenekku seorang diri. Ketika dipanggil waktu makan tengah hari, beliau tidak mahu menjamah sebaranh makanan. 
Dan ketika dijenguk sekali lagi petang itu, rohnya sudah pergi. Hanya tinggal jasad di sini. 

Cucu - cucu mereka? Terpaksa dihantar ke rumah kebajikan, walhal mereka masih mempunyai ibu yang sihat walafiat. 
Dan aku perhatikan cucu-cucunya sedikit liar, mungkin  kerana kekurangan perhatian dan kasih sayang ibu ayah.

Terlalu banyak kepincangan masyarakat yang menyumbang kepada kisah ini.

Mujurlah, masih ada saudara-saudara baik hati yang membantu menguruskan kehidupan mereka ketika mereka sudah semakin uzur. Kalau tidak.. Ah, Aku tak boleh bayangkan!

Comments

Popular Posts