Habib di Sungai Penchala



1 Disember 2016
7.30 malam
Kami mula bertolak ke Sungai Penchala berpandukan Google Map. Kak Rafi lah pemandunya. 

8.00 malam
Suasananya begitu berbeza. Lelaki kebanyakannya berjubah putih dan sesetengah berwarna hijau. Yang perempuan berjubah hitam dan kebanyakannya berniqab hitam juga. Aku terasa asing. Kerana sewaktu di DQ, pakaian masih lagi berwarna walaupun hanya warna-warna yang sederhana.

“Kak Rafi, kenapa ramai pakai jubah dengan niqab hitam?”
“Sebab tu pakaian ummahatul mukminin. Kalau lelaki, sunnahnya jubah putih.”

Ketika sampai, para Jemaah sedang mengalunkan bacaan surah al-Kahfi kerana kebetulan malam itu ialah malam Jumaat. Kemudian, majlis disambung dengan bacaan surah ad-Dukhan, surah Yasin dan tahlil. Ya dalil tentang tahlil untul si mati ada perbahasannya. Tetapi aku hanya meniatkan untuk bacaan diri at least. 

Selepas solat Isya berjemaah dan selesainya segala bacaan, kira-kira jam Sembilan lebih, Habib Kazim pun tiba. Beliau berkata-kata dalam bahasa Arab dan diterjemah oleh Ustaz Iqbal. Sudah lama aku tidak mendengar ceramah dalam bahasa Arab. Almaklumlah kursusku di UIA, semuanya dalam bahasa Inggeris. ‘Kuliah’ bahasa Arab terakhir yang aku rajin ikut ialah di DQ dulu; sesi tahsin bacaan al-Fatihah. 

Mataku melilau-lilau melihat keadaan Jemaah di sekitarku. Ada nenek-nenek, para ibu yang membawa anak-anak kecil mereka dan gadis-gadis muda juga. Mengagumkan sebenarnya melihat kegigihan para ibu membawa anak kecil ke masjid waqaf itu. Bukan senang. Anak-anak kecil itu sekejap berlari, sekejap memanjat, sekejap mengambil barangan orang lain. Aku yang melihat pun pening. 

Ada satu ‘benda’ yang berasap dalam ruangan masjid.
“Kak, apa benda yang berasap tu?”
“Tu ‘buhur’, wangian.”
“Oh..”

Aku lihat, ada seorang kakak berabaya hitam sedang gigih menaip nota kuliah d Macbooknya. Bukan setakat mencatat, malah merakam juga. Aku hanya mampu mendengar dan berusaha menghayati kuliah versi bahasa Arabnya kerana pertuturan Habib dan penterjemahnya begitu laju. Aku hanya mampu menangkap sebahagian daripada perkataan bahasa Arabnya, thanks to bahasa Arabku yang dah lama berkarat sejak sekolah dan tidak berkembang.   

“Memang terbantut la niat nak ambik minor Quran Sunnah. Nak paham kuliah sejam dalam bahasa Arab ni pun dah hmmm..”

Malam itu Habib bercakap mengenai cahaya. Amalan yang kita buat akan menyuntikkan cahaya dalam jiwa kita. Selain itu, dhiya’ lebih terang daripada ‘nur’. Maka, Allah memasangkan ‘dhiya’ dengan matahari, ‘nur’ dengan bulan di dalam al-Quran. Sebenarnya banyak lagi, tapi aku pun tak mencatat masa tu, cuma mendengar. Yang aku ingat, aku terasa amat insaf sepulangnya dari sana. Kerana aku sedar yang aku tidak berapa cakna dengan Rasulullah dan ahlul bayt. Kerana akhlakku terasa seperti begitu banyak cacat celanya. Kerana mengenangkan jiwaku yang mungkin malap dengan cahaya. Kerana menyedari aku seperti tidak begitu gigih memelihara cahaya yang sepatutnya selalu hidup di hatiku. 

Kerana mungkin hatiku sehitam abaya dan niqab mereka. Hanya Tuhan yang tahu.

Comments

Popular Posts