Lahad : Syawal di Perkuburan
Bismillah.
3 Syawal 1438
Seawal 7 pagi kami sekeluarga dan Maktok bergerak ke selatan tanah air. Negeri tempat Maktok dibesarkan, negeri penuh kenangan buat beliau.
Kami tiba dalam jam 10 pagi di kawasan perkuburan tempat bersemadinya jenazah ibu & datuk Maktok. Suasana di tanah perkuburan itu amatlah menyeramkan walaupun kami ke sana pada waktu siang. Batu-batu nisan ada yang hancur, tumbang menyembah bumi. Akar pokok besar menjalar dari bawah permukaan kubur membuatkan tapak kubur merekah & pecah. Daun-daun yang berjuraian umpama tali-tali daripada pokok-pokok besar di situ. Semak samun juga tumbuh melata bak cendawan selepas hujan.
Binaan-binaan seperti kepungan simen, bata & kayu juga kelihatan amat usang sekali, semuanya tampak kelabu. Ada satu tapak kubur bayi yang hancur; batu nisan & kepungannya, sehingga kelihatan hanya seperti kepingan batu bata yang pecah. Susunan tapak kubur juga tidak teratur. Amat sukar untuk membezakan tapak kubur & laluan yang boleh dilalui. Nyamuk juga begitu cepat menghurung aku yang berjubah biru gelap ketika itu. Terasa diriku umpama termasuk dalan scene "The Haunted Mansion" pula.Tiada juga nombor kubur seperti di tempat Tokbah dikuburkan.
Kubur pertama yang kami ziarahi ialah kubur moyang perempuanku yang meninggal dunia semasa melahirkan anak ketika Maktok baru berusia 4 tahun. Bayinya juga meninggal dunia sekali. Sayu sekali melihat batu nisan kecil di tapak kubur moyangku. Mereka dikebumikan di tapak kubur yang sama. Kubur ibu Maktok mengingatkan aku bahawa Maktok membesar tanpa didikan & kasih seorang Ibu.
Kubur Moyang Perempuan & Anaknya |
Sangat jauh berbeza keadaan di situ dengan keadaan di perkuburan bandar tempat tokbah dikebumikan.
Kawasan perkuburan Tokbah terletak di kawasan bandar raya. Sangat tersusun mengikut baris-baris lurus & dinomborkan mengikut susunan yang sepatutnya. Tapak-tapak kubur juga dijaga dengan rapi. Warna kubur juga perlu diseragamkan dengan warna putih. Ada pekerja yang akan merapikan rumput karpet di permukaan kubur agak tidak terlalu panjang, malah disiram lagi. Waris keluarga juga boleh menempah 'stool' atau bangku simen supaya ada tempat duduk bila waris menziarahi kubur.
Selepas Tokbah dikebumikan dulu, penjaga kubur bertanya;
"Nak buat kepungan kayu, batu marmar atau kayu cengal?"
Mak aih yang cengal harganya mencecah ribuan ringgit. Tapi tak boleh kan buat binaan pada kubur?
Dan mindaku terjentik lagi;
Semahal mana binaan yang kita buat di kubur, takkan dapat membantu penghuninya di alam barzakh. Akhirnya segala binaan itu bakal reput juga seperti penghuni di dalamnya. Dan yang berguna untuk penghuni hanyalah amalan soleh & doa orang yang masih hidup.
Adakah kita bersedia menghadapi maut yang datangnya tanpa tahu bila?
Auni B
7.07 PM
10 Julai 2017
Terengganu.
Comments
Post a Comment