REFLEKSI AKADEMIK: TAHUN 2 SEMESTER 1 PSIKOLOGI DI UIAM

Bismillah. Ini post ketiga saya tentang subjek-subjek akademik yang saya ambil dalam jurusan Psikologi di UIAM Gombak. Dah nak masuk semester ketiga yang saya ambil hanya 15 credit hours (minima). Payah sikit pelajar-pelajar jurusan psikologi untuk dapat banyak subjek psikologi melainkan dah level yang atas-atas sebab senior boleh pre-reg subjek lebih awal daripada junior. Selain itu, semester ini juga, saya dah berjaya declare minor dalam Quran Sunnah dan mula ambil subjek minor alhamdulillah.


Ada iras rupa meja saya semasa study. Perlu ruang besar dan banyak alat :P


1.       Developmental Psychology (PSYC 1090) 

Subjek ini antara yang paling menarik untuk dipelajari dalam jurusan Psikologi. Kami belajar proses perkembangan manusia daripada dalam kandungan sehinggalah ke usia tua dan daripada pelbagai aspek; fizikal, sosioemosional dan kognitif. Pensyarah yang mengajarku ketika itu Dr Nazariah. Beliau sangat keibuan dan rajin melayan soalan-soalan daripada para pelajar. Kelas kami pula hanya ada lebih kurang 50 orang.

Pengajaran utama yang saya dapati daripada subjek ini ialah betapa besarnya peranan ibu bapa dan persekitaran dalam membentuk perkembangan anak-anak daripada segenap aspek. Sebagai contoh, jika anak tidak diberikan rangsangan fizikal yang sesuai dengan umurnya, ada kemungkinan tumbesaran fizikal dan kognitif anak tidak mencapai potensinya yang maksimum. Jika ibu bapa atau penjaga tidak memberikan perhatian dan emosi positif secukupnya kepada anak ketika mereka masih bayi, kesannya boleh kelihatan apabila mereka semakin besar. 

Jadi, terima kasih Ibu dan Ayah kerana berusaha membesarkan saya dengan cara yang terbaik yang mereka mampu. Tanpa didikan Ibu dan Ayah, entah bagaimanalah saya sekarang. 

2.       Psychology of Learning (PSYC 1080)

Kami belajar tentang bagaimana manusia belajar sesuatu; ilmu teori, praktikal dan kebiasaan. Fokus Dr Sharifah dalam kelas kali itu ialah dari pada perspektif Behaviorism. Jadi, kami belajar teori Classical Conditioning, Operant Conditioning dan Observational Learning. Agak rumit pula kalau nak terangkan teori conditioning di sini aih. 

Okaylah saya kongsikan tentang Observational Learning yang lebih mudah untuk difahami. Kalau tengok maksud literal Observational Learning pun dah boleh tangkap kot konsepnya macam mana;k pembelajaran menerusi pemerhatian terhadap perlakuan orang lain. Observational learning ni lebih berpotensi untuk berkesan bila ada 4 komponen ni: 

a)      Perhatian
b)      Memori
c)       Kemampuan untuk meniru perbuatan berkenaan
d)      Motivasi

Contoh paling kerap yang saya jumpa dalam buku teks: Bayangkan ada budak 3 tahun. Dia nak belajar ikat kasut. Jadi, dia kena: (1) perhati macam mana orang lain ikat kasut (perhatian) dan (2) ingat langkah-langkahnya (memory). (3) Tangan dia dah boleh buat pergerakan yang halus untuk handle tali-tali yang halus tu (kemampuan). (4) Dia kena NAK belajar. Baru lah boleh. Gituh.  

Boleh reflect kat konsep ni kat diri sendiri, kalau-kalau ada benda yang kita nak belajar tapi masih belum berjaya. Cukup tak 4 komponen ni? (Oh ya jangan lupa elemen agama semua tu).

Selain itu, bab-bab belakang banyak tentang teknik-teknik belajar berkesan yang telah dibuktikan melalui kajian. Contoh paling penting untuk saya ialah; belajar secara berkala (distributed practice) lebih baik daripada belajar sekali gus (mass practice atau cram banyak-banyak dalam satu masa aka last minute study). Kebanyakan teknik belajar agak familiar seperti yang sudah diketahui umum, jadinya saya skim through je part ni masa nak exam final hari tu. Ironinya, saya yang terstudy last minute padahal dah terang lagi bersuluh teknik belajar TAK last minute lebih berkesan. 



3.       Cognitive Psychology (PSYC 3030)

Subjek Cognitive Psychology ialah antara subjek kegemaran saya kerana kami belajar tentang proses-proses yang berlaku dalam otak. Sebab utama saya memutuskan untuk mengambil jurusan psikologi adalah disebabkan kekaguman saya terhadap antara anugerah terbesar yang Allah berikan kepada manusia. Dengan adanya otak yang dapat berfungsi dengan baik, kita dapat berfikir dengan jelas, melangkah dengan tegap, bertutur dengan jelas dan menghasilkan pelbagai keajaiban lagi.
Antara sub-topik yang kami pelajari termasuklah:

-          Deria (Sensory) : cara deria mengesan stimulasi daripada persekitaran.
-          Persepsi (Perception): cara otak ‘menafsir’kan stimulasi daripada deria.
-          Perhatian (Attention): jenis-jenis perhatian
-          Ingatan/ Memori (Memory): jenis-jenis memori berdasarkan durasinya, cara merekod memori
-          Penyelesaian Masalah (Problem Solving)
-          Gambaran Mental (Mental Imagery)

Kebanyakan proses yang kami pelajari ialah berdasarkan teori-teori yang dibuat berdasarkan kajian dan eksperimen yang dibuat oleh para pengkaji. Sesungguhnya teori boleh berubah dengan hasil penemuan daripada kajian-kajian baru. 

Yang menariknya, banyak proses yang saya pelajari daripada subjek ini dapat dikaitkan dengan proses hafazan al-Quran dan masalah-masalah yang berkaitan dengannya. Contohnya, huffaz sering kali keliru dengan hafazan lama dengan hafazan baru. Kekeliruan sebegitu berkemungkinan disebabkan oleh proses gangguan atau ‘interference’ dalam memori kita. Retroactive interference terjadi apabila maklumat baru dalam ingatan kita menganggu maklumat yang lama. Proactive interference pula berlaku sebaliknya; iaitu apabila maklumat lama dalam ingatan mengganggu proses pembelajaran maklumat baru. Banyak lagi contoh lain tapi cukuplah satu sahaja dalam post ini.  

4.       History and Philosophy of Psychology (PSYC 4090)

Saya ini penggemar subjek sejarah. Mula-mula, saya agak teruja untuk ambil subjek ini. Bila kelas bermula, makin lama, agak susah untuk faham apa yang dipelajari kerana banyak konsep falsafah yang perlu difahami. 

Fokus silibus subjek ini adalah untuk mengenengahkan tokoh-tokoh yang telah menyumbang secara langsung atau tidak langsung kepada pembentukan bidang psikologi hari ini. Antaranya termasuklah figura-figura dalam bidang falsafah seperti Immanuel Kant, Rene Descartes, John Locke; figura-figura terkenal dalam bidang psikologi seperti Sigmund Freud, John B. Watson, Ivan Pavlov; dan juga tokoh-tokoh Islam seperti Ibnu Sina, Ibn al-Haytham, al-Ghazali dan banyak lagi. 

Kami belajar latar belakang setiap tokoh dan sumbangan-sumbangan mereka ke arah pembentukan bidang psikologi. Kebanyakan tokoh Barat mempunyai masa kejatuhannya yang tersendiri; ada yang mempunyai masalah keluarga, depresi dan sebagainya. Namun begitu, mereka pilih untuk bangkit dan melakukan perubahan yang bermanfaat. Penerangan Dr Azlin banyak membuka mata aku bahawa tokoh-tokoh tersebut juga manusia biasa yang bermula dari bawah, ada jatuh bangunnya. Tak mustahil kalau pelajar yang hari ini sedang duduk sebagai pelajar biasa dalam dewan kuliah, boleh jadi tokoh yang hebat suatu hari nanti. Jadi, bangkitlah lebih tinggi daripada kejatuhan. #BounceBackStronger

5.       Dirasah fil Quran (RKQS 1046A) 

Ini ialah subjek pertama yang saya ambil untuk minor Quran Sunnah dan bahasa pembelajarannya ialah bahasa Arab. Risau juga kerana sudah hampir 4 tahun saya tidak mempelajari bahasa Arab secara formal. Alhamdulillah, pensyarah saya (Dr Jannah, Dr Faizul Haque) turut menggunakan bahasa Inggeris ketika mengajar, memandangkan kebanyakan pelajar yang ambil subjek Dirasah ialah pelajar tahun 1. 

Kami perlu mempelajari tafsir ringkas 2 juzuk daripada al-Quran iaitu juzuk 28 dan 29. Namun begitu, disebabkan silibus yang agak banyak, kami tidak sempat menghabiskan semuanya. Hanya belajar beberapa surah terpilih seperti surah al-Mulk, at-Talaq, al-Mumtahanah, al-Jumuah dan lain-lain. Rujukan utama yang kami gunakan di dalam kelas ialah Sofwah at-Tafasir yang ditulis oleh Sheikh Muhammad Ali as-Sobuni. 

Saya suka sangat cara Dr Faizul Haque terangkan tafsiran ayat al-Quran dalam kelas. Beliau terus bawa kita untuk refleksi ayat al-Quran untuk aplikasi dalam situasi hidup sekarang. Sentap sendiri juga la pada setiap kelas. 

“If you just learn one surah and apply it in your life, that is already enough for you to have a good life.”

Masalahnya, belajar banyak-banyak, kita amal ke tidak? Astaghfirullah. Surah-surah yang saya belajar tu pun, tak tahu mampu tak nak amal semua. Banyak sangat yang belum.

KONLUSI

Subjek paling best? DIRASAH FIL QURAN !

Comments

  1. Salam, nak tanya sis belum ambil subjek research methodology ke?

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah dah ambil, nanti saya update ya hehe :) insyaAllah

    ReplyDelete
  3. Replies
    1. Untuk batch yang baru, dah tiada program major-minor untuk course psychology. Hanya boleh ambil subjek-subjek yang berkenan sebagai subjek elektif (tambahan).

      Delete

Post a Comment

Popular Posts