Nyang Mek Cina

Alkisah. 
Aku seorang yang berhati kering. Orang-orang cakap. Mungkin. Tapi bukan lah 100%.

Hidup aku dikelilingi oleh orang tua. Datang dan pergi silih berganti. 

Tok Nyang.
Tok Itam.
Tok Ucu.

Ketiga-tiganya dijaga oleh anak mereka, iaitu nenek-nenek aku. 

Tok Nyang, meninggal sewaktu aku di tingkatan tiga. Ketika PMR sedang berlangsung. 

Aku masih ingat, kereta keluargaku berhenti di hadapanku. Penuh satu kereta dengan adik-adikku, pelik. Ambil aku balik sekolah secara berjemaah? 

Tapi aku nampak suatu kelainan hari tu. Wajah-wajah itu terpalit kesugulan. Sebab apa? 

Rupanya moyang perempuan aku sudah kembali ke rahmatullah. Innalillah. 

Petang itu juga, aku ada konflik dengan Ayah. Sesak sampai menangis aku dibuatnya. Tak pernah dimarahi ayah sebegitu. 
Orang lain sibuk berduka sebab Tok Nyang. Aku pula resah dengan konflik yang dihadapi dengan Ayah. 

Tapi apa yang berlaku hari tu cukup jelas aku ingati.

Rumah tok aku dipenuhi dengan sanak saudara. Sekujur tubuh yang kurus diselimuti kain batik terbaring kaku di atas tilam itu. 

Seingat-ingat aku, satu bekas panjang beroda diusung ke atas rumah kayu tok. Rupanya itu bekas mayat dimandikan. Ada lubang-lubang panjang di bawah bekas itu untuk membolehkan air mengalir keluar. 

Makcik-makcik yang aku tak kenali memegang kain mengelilingi bekas itu. Aku dengar bunyi air mengalir. Tapi tak berani pula aku nak mengintai. 

Sambil mayat dimandikan, beberapa orang makcik lain, menyiapkan kain kafan untuk Tok Nyang. 

Hamparan kapas ditebar dia atas kain kafan putih itu. Serbuk berwarna coklat ditabur, air pewangi dipercik-percikkan. 
Aku masih belum dapat mengenal pasti bahan-bahan yang digunakan untuk mengkafankan mayat. 

Aku terus memerhati. 
-----

Hari itu, aku tak rasa apa-apa. Sedih pun tidak. Mungkin kerana aku tak rapat dengan Tok Nyang. 
Takde rasa. Hati batu mungkin.

Beberapa minit selepas itu, Tok Nyang sudah siap dikafankan. Tubuh kecil moleknya dibaluti dengan kain kafan putih bersih. Kapas-kapas putih terkeluar sedikit dari hidungnya. 

"Auni, nak cium Tok Nyang tak? Tak payah takut"

Aku cuma geleng perlahan. 

Dan aku perhatikan ibu-ibu saudara aku, seorang demi seorang duduk melutut di sebelah tubuh Tok Nyang, dan mengucup Tok Nyang dengan lembut di dahi. 

"Cik Ngah, rasa apa?"

"Sejuk je."
---------------
Tok, tok. Aku mengetuk pintu Cik Long. Biliknya selalu jadi tempat lepak kami, kerana beliau masih bujang. 

Pintu dikuak perlahan. Matanya merah, bekas-bekas linangan air mata di pipinya bersinar dek terkena cahaya matahari. 

Tak sangka, Cik Long yang agak keras pun boleh menangis hari itu. Mungkin banyak kenangan manis yang sedang bermain di kotak fikirannya ketika itu. 

Dan sekarang Toknya yang disayangi telah pun pergi menghadap Ilahi. 

------

Hari itu,
Semua ibu-ibu saudaraku merah matanya. Hiba. 

Tok aku, yang menjaga Tok Nyang, tenang sahaja hari tu. 

Dan aku 
masih cuba mengorek sifat kemanusiaan dan kasih 
dalam hati aku yang sekeras batu. 

Comments

Popular Posts