REACHING HEARTS 2: KOTAK KOSONG



11 Mei 2016
9.00 Malam
Langit gelap, hitam pekat. Bunyi bising siang tadi sudah reda. Peserta-peserta mengumpul tenaga, mengecas kembali semangat dengan solat Isya’berjemaah dahulu. Selepas itu, kami berkumpul di perkarangan masjid, bersiap sedia untuk berpecah mengikut kumpulan berempat-empat.
Setiap kumpulan mempunyai 4 orang; 2 lelaki dan 2 perempuan. Dicampur lelaki perempuan untuk tujuan keselamatan di tengah-tengah bandar raya. Bersama kumpulan masing-masing, kami menapak ke kawasan Univeriti Segi dengan membawa sekotak air mineral, sekotak roti Gardenia Butter Raisin dan sekotak goodies bag.  Lokasinya tidak jauh, hanya dalam 10 minit jika berjalan kaki.
Setibanya kami di jalan yang dimaksudkan, kelihatan ramai kelibat manusia yang berdiri dan duduk di koridor bangunan. Baru sahaja kumpulan kami berhenti dan ingin mengagihkan ke sekumpulan lelaki tua, ramai yang menyerbu mendekati kami.
“Roti, roti.”
“Nak air..”         
“Yang tu, tak dapat lagi.”
                               Kelam-kabut kami melayan semua yang meminta. Dalam masa lima minit, bekalan makanan yang kami bawa hampir licin. Hanya tinggal sebuku roti dan sebotol air mineral. Terkejut sendiri.  Sepantas kilat boleh licin.  
“Aik? Habih doh? Kejap je.”
                               Tersengih-sengih ahli kumpulanku, kaget juga agaknya. Kumpulan lain begitu juga. Kami tertoleh-toleh sesama sendiri, melihat apa yang berlaku. Para gelandangan agak terdesak menginginkan makanan, tapi Alhamdulillah keadaan masih terkawal.
“Dik, nak kotak tu boleh?”, tanya seorang pakcik.
“Boleh-boleh”
“Terima kasih” katanya dan pakcik itu pun meleraikan lipatan kotak itu lalu dijadikan alas duduk.
Aku ternampak ahli kumpulanku membuang kotak lain yang bersih ke longgokan sampah.
“Eh, kalau letak kat tempat kering kan orang lain boleh guna? Letak kat situ ke?” kataku sambil menuding ke tepi tiang yang agak kering.

Dia diam, tersengih lagi, tergaru-garu kepala pula dan terus jalan.
“ Hmm..”

Kotak kosong pun suatu keperluan untuk mereka. Apa yang kita anggap sampah dan tidak bernilai, rupanya  bernilai di mata orang lain. Cuba fikirkan; Apa saja yang kita pandang terhadap sebuah kotak kosong? Bekas barangan lain, barang untuk dibuang. Tapi sedarkah kita, kotak kosong rupanya menjadi punca rezeki orang lain. Dicari dan dikumpul banyak-banyak, kemudian dijual di tempat kitar semula.

Perhati, baru kita mengerti. Berjalan untuk memahami. Supaya akan datang, kita tidak ulang kesalahan sama lagi. Supaya akan datang, negara boleh senang lagi. 

Comments

Popular Posts