REACHING HEARTS 1: ANAK KECIL BERLOKET HATI


11 Mei 2016
6.00 Petang

Petang itu, Brotherbear dan Sisterbear IQRAC Gen 15 sedang duduk bersila membentuk bulatan di atas lantai putih Masjid Jamek. Semua khusyuk mendengar penerangan Ustaz Nizam yang sedang serius memberikan penerangan tentang penginapan kami di situ dan juga serba sedikit mengenai program Feed the Homeless malam itu. Bunyi-bunyi bising daripada kerja-kerja penambah baikan di sekeliling masjid membuatkan peserta perlu menumpukan lebih banyak fokus kepada penerangan ustaz.
Tiba-tiba,  terasa tepukan lembut di atas bahuku.
“Mak.”
“Aik? Bila masa pulak aku ada anak ni?”getus hatiku.
Seorang anak kecil berusia dalam lingkungan dua tahun rupanya yang menepuk bahuku. Kulitnya hitam manis, mukanya seperti anak pelarian Rohingya yang biasa ku lihat. Mungkin juga anak orang Indonesia. Rambutnya agak panjang dan berserabai. Comot-comot sedikit mukanya.
Ateh aku gelak je dan mendudukkan budak pendek itu di hadapan kami. Elok pula budak ni duduk diam. Kadang-kadang dia tertoleh ke kiri dan ke kanan , depan dan belakang. Entah apa yang dicarinya.
“Mak mana?”, aku tanya, budak itu kelihatan cerdik.
Budak itu pun menunjukkan ke kawasan pembinaan. Aik, peliknya. Salah faham agaknya.
Fokusku untuk mendengar taklimat terganggu sedikit, biarlah. Aku pun saja mencari gambar anak Ustaz Adam, Dhiya yang aku tangkap tempoh hari di DQ. Mana tahu boleh menghiburkan anak kecil yang sedang tercari-cari itu.
Budak itu terus berteriak keriangan dengan suara pitch tinggi.
“Wan, wan” teriaknya sambil menunjukkan jari telunjuk ke kawasan solat perempuan.
“Heheheehe” giggle lagi. Ada budak kecil lain yang bermain di kawasan solat perempuan. ‘Kawan’ rupanya.
Nampaknya fokus peserta lain pun mulai terganggu dengan budak kecil ini. Budak itu pun terus zoom in dan zoom out gambar Dhiya, sesekali skrol ke gambar-gambar lain. Dan akhirnya Photos aku jammed, tak boleh keluar gambar. Jeng.
Kemudian, aku bukakan aplikasi al-Quran, saje nak tunjuk. Mana tahu dia tak pernah tengok seumur hidupnya. Dia cuba skrol ke bawah, tapi tidak menjadi. Maka, aku pegangkan jari telunjuk kecilnya dan gerakkan ke atas. Bila aku lepaskan jarinya, dia pula pegang jari telunjuk sendiri menggunakan tangan yang sebelah lagi untuk skrol ke bawah.          Haha budak kecil memang lurus.
Selesai taklimat, dia mula berlari-lari sekeliling masjid, masuk kawasan solat perempuan, keluar balik, tawaf pula kawasan solat lelaki dan ulang dan ulang. Pening kami dibuatnya. Tanya orang sekeliling, mereka pun tak tahu siapa ibu ayahnya. Jadi, kami pun perhati dan ikut je budak itu.
Berlari lagi. Dan lagi. Dan lagi.
“Nak makan?”
“Kan, kan” katanya sambil menganggukkan kepala. Aku pergi geledah biskut Sultana dalam beg dan bagi kepada budak itu sekeping dulu. Budak itu terus sumbat biskut dalam mulut.
“Sikit-sikit” dan aku patahkan separuh biskut, tercekik karang.
Mula-mula dia makan guna tangan kiri.
“Ni, guna tangan kanan. Aaa cam tu.” Baru comey guna tangan kanan.
Budak itu hulur tangan lagi. Aku bagi biskut separuh lagi, dan umm belasah makan dengan tangan kiri macam tadi, lolz.
Dia berlari lagi, dan rupanya semua perempuan dipanggilnya “mak”. Alhamdulillah haha. Fir atau nama panjangnya Firdaus (perempuan) yang sedang mengaji pun disapanya mak. Tengok banner ruang solat perempuan yang ada kartun perempuan bertudung tanpa mata, mulut dan hidung pun “mak.”
Ateh aku sedang enak menikmati Mr Potato berperisa barbeku dan kemudian budak itu ternampak. Terus berjalan mendekati Ateh.
“Ateh, sorok benda tu sekarang, budak kecik tak elok makan, huhu. Alaa dia dah nampak.”
Budak itu mengelilingi Ateh, mata tak berkelip.
“Ni, ni biskut ada lagi. Sedaap.”
Pandai pulak geleng-geleng, dicarinya Mr Potato. Akhir sekali, redha dia menerima biskut.
Kemudian, Bell dukung budak kecil itu, berjalan ke tepi masjid, melihat ruang terbuka.
“Mak mana?”, Bella tanya budak kecil itu lagi.
“Tu”, sambil tunjuk ke kawasan pembinaan lagi. Seram aku.
Siapa lah mak ayah budak ni? Ada sekalung loket berbentuk hati di lehernya, terukir huruf N. Entah apa namanya; Nur? Nana? Nini?
Apa yang budak kecil ini cari bila tegur semua orang?
Kasih? Sayang? Perhatian? Kelihatannya dia ketandusan ketiga-tiga itu.
“Korang, jom pergi makan! Lapor.”
“Kat mana?”
“Burger King ok tak? Dekat.”
“Okay je.”
“Okay jom”
“Er, budak kecik ni cane?” sambil melihatnya masih berlari-lari keriangan.
“Kena tinggal la kot. Macam bahaya je kalau bawa dekat-dekat dengan jalan besar”
“Tapi kesian dia …”
Kami pun berjalan merentasi tempat solat. Budak kecil tu terkedek-kedek mengikuti langkah kami. Sampai di hujung tangga, dia tengok je, muka nak ikut. Aduh kesian nak ditinggalkan sendiri, tapi mustahil nak dibawa berjalan sekali.
Kebetulan aku ternampak beberapa saudara sedang bersenang-senang. Makanya,
“Boleh tolong jaga ?”
Semasa di Burger King, Haha cakap, bapanya memang ada di kawasan masjid itu, berkemeja-T yang berwarna hitam dan kuning. Saudara-saudara yang tolong jaga budak kecil itu kata, bapanya juga sudah selamat ditemui. Cuma, tidak pasti sama ada dia juga gelandangan atau hanya musafir kerana da membawa beg. Kata Haha lagi, bila bapanya ingin mengambil budak kecil itu, dia akan menjerit-jerit kerana tidak mahu. Tapi bila bersama orang lain, dia ketawa keriangan.
Ya aneh. Entah apa di sebalik kisah budak kecil itu. Semoga terus kuat menghadapi hidup, anak kecil berloket hati.

Comments

Popular Posts