Jerih

Krik krik krik !
Krik krik krik!

Bunyi cengkerik jadian daripada Iphone milik Aisy mula berbunyi. Jam menunjukkan jam 4.00 pagi.

Malam tadi, Aisy tidur awal. Kepalanya berdenyut minta direhatkan. Maka waktu pagi perlu dimanfaatkan. Tak cukup kuota lagi modal untuk dihantar ke ustazah.

Kedengaran suatu suara yang lantang mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Nyaring, bergema-gema di ruangan koridor asrama. 

Aisy menjengulkan kepalanya ke luar pintu. Kelihatan gadis itu sedang bersemangat melancarkan ayat-ayat al-Quran. Badannya digerak-gerakkan ke depan dan belakang. Orang yang aktif, memang begitu agaknya cara menghafaznya. 

Berus giginya dicapai dan tuala diselempangkan ke bahu.

"Jiji ! Awalnya bangun", tegur Aisy.  Keningnya berkerut-kerut, kesan menahan kesilauan lampu kalimantang di koridor.

"Dok cukup modal lagi ni. Kena la bangun awal. Hehe."

Jiji memang suka giggle. "Hehe."

Aisy mengambil tempat di sebelah Jiji. Lantai simen itu terasa sejuk. Angin di bumi al-Quran bertiup kencang sepanjang siang dan malam.

"Surah al-Maidah," ujar Aisy, setelah menjeling ke halaman naskhah terjemahan al-Quran berwarna hitam yang dipegang Jiji. 

Jiji hanya tersenyum, meneruskan usaha menghafaznya.
 
Kalau tak salah Aisy, malam tadi Jiji lah orang yang berkampung di bilik menggosok aras 3 malam tadi. Jam sudah hampir menunjukkan pukul 1 pagi ketika Aisy sudah menggosok jubah hitamnya semalam. 

Dalam diam, Aisy kagum dengan semangatnya. Jiji agak lambat dalam menghafaz, tapi itu bukan penghalang baginya untuk terus berusaha. Usaha, usaha dan usaha lagi. 

Pagi, petang, siang malam dengan al-Quran. 

Pada waktu siang selepas kelas tasmik, Jiji ambil peluang menghafaz di masjid. Mungkin kerana suasana masjid lebih memangkin semangatnya untuk menghafaz. Gangguan yang tak perlu pun dapat diminimakan. 

Semangatnya kuat. Segala tekanan yang dirasai begitu pandai disembunyikan di sebalik wajahnya yang sentiasa ceria. Ya, Aisy kagum, cukup kagum. 

*bersambung..*





Comments

Popular Posts