Kanvas

Tangan Aisy ligat menggerak-gerakkan pensel 2B di tangannya. Sesekali, pemadam dicari untuk menghilangkan karbon pensel yang tercomot ke sana sini.

"Fuuh, siap pun! Tapi buruk ah, macam cakar ayam," ujar Aisy sambil ketawa kecil. 

"Meh sini, saya tengok. Tambah skit garisan kat air ni, biar nampak air tu macam gerak skit, tak lah kaku semacam," komen Dahlia.

Pensel tadi dicapai kembali. Aisy melakar garisan beralun dan beberapa garisan melengkung di atas kertas lukisannya. 

"Macam ni?"

Dahlia mencapai pensel Aisy dan melakar sedikit  garisan lagi.

"Ok dah," ujar Dahlia, dia tersenyum lebar.

"Tau lah,lukisan saya tak lawa, tak payah la perli sangat."

"Eh mana ada perli, cantik apa."

Hakikatnya lukisan Aisy seperti lukisan kartun, sangat kekurangan dari segi ketajaman lukisan. Ye lah, bukan senang nak tiru lukisan Yang Maha Esa yang terbentang luas di hadapan mereka.

Pokok-pokok pun dah berpuluh-puluh jenis. 

Ada yang berbentuk kon, macam dalam buku teks Geografi dulu. Pokok konifer namanya.

Ada yang rendang, sesuai sebagai tempat berteduh dari terik matahari.

Ada yang tinggi melangit, sedikit sekali daunnya. 

Tak termasuk lagi lalang-lalang tirus tumbuh segar di gigi air tasik. 

Dan pokok-pokok akuatik yang menjalar di permukaan air berkembang biak dengan suburnya.

Dan juga semak-semak yang hidup berselerakan di tepi tasik. 

Terlalu banyak details untuk dimuatkan dalam satu lukisan. Aisy tak mahu kawannya menunggu lama, melayan kerenah peliknya. Lagipun, tangan Aisy dah mulai lenguh. 

"Susah juga nak melukis. Kena banyak sabar, banyak perhati.

Kalau kartun, kacang je, simple, " kata Aisy. Dia sangka melukis ini suatu bakat semula jadi.  Ya, benar juga. Tapi melukis juga perlu ilmu, latihan dan kesabaran.

Melukis pun boleh bawa kita ingat pada Tuhan.

Lukisan semula jadi yang begitu indah yang disajikan kepada mereka ditatap puas-puas. Terasa satu perasaan yang menyenangkan menyusup masuk ke dalam jiwa.Segala keresahan tentang perjuangan mereka hilang, terbang pergi dan ketenangan menjadi pengganti.

"Okey lah Dahlia, jom balik."

"Jom."

Dua figur itu bangun, dan melangkah perlahan kembali ke markas mereka. 










Comments

Popular Posts